Wednesday 11 March 2015

KESIHATAN : Mencegah Lebih Baik Daripada Mengubati.

Seperti yang manusia yang berakal sedia ketahui, kehidupan seseorang di dunia akan berakhir dengan kematian dan ini jugalah yang Islam maklumkan kepada manusia yang sudah maklum. Allah berfirman :

كُلُّ نَفۡسٖ ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوۡنَ أُجُورَكُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۖ فَمَن زُحۡزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدۡخِلَ ٱلۡجَنَّةَ فَقَدۡ فَازَۗ وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا مَتَٰعُ ٱلۡغُرُورِ ١٨٥
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesaran) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. 
[Ali Imran, 3 : 185]

Bukan hanya manusia, setiap apa yang ada di bumi ini akan musnah dan yang kekal hanya Allah yang maha Mulia sebagai mana firman-Nya :

 كُلُّ مَنۡ عَلَيۡهَا فَانٖ ٢٦ وَيَبۡقَىٰ وَجۡهُ رَبِّكَ ذُو ٱلۡجَلَٰلِ وَٱلۡإِكۡرَامِ ٢٧

Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa. Dan akan kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan. 
[Ar-Rahman, 55: 26-27]


Memahami Konsep Hukum Alam

Berbicara mengenai kesihatan, tidak dapat tidak kita akan menyelitkan bicara tentang kematian ataupun sebaliknya. Contohnya, seorang mak cik yang terlentang sakit (kesihatannya tidak bagus) berkata, "Allah sakitkan aku, mungkin kematian aku dah hampir sangat."

Atau seorang doktor akan berkata kepada suami mak cik yang sedang sakit, "Dalam keadaan mak cik sekarang (yang menghidap barah otak tahap ke-empat), mengikut apa yang saya belajar, jangka hayat mak cik hanya dalam lebih kurang 2-3 bulan. Apa-apa pun kesemuanya ketentuan Allah".

Boleh jadi juga, Pak Ali yang datang menziarahi keluarga Mak Cik Zaitun pada hari kematiannya bertanya kepada Azman, anak si mati, "Pukul berapa meninggalnya mak kamu? Sakit apa?".

Begitulah perkaitannya kesihatan dan kematian, seolah-olah kesihatan seseorang yang tidak elok yang mematikan seseorang sedangkan yang sebenar-benarnya Allah yang mematikan manusia dengan berbagai-bagai cara. Ada yang dimatikan-Nya dengan asbab kesihatan yang tidak elok seperti obesiti, lemah jantung, barah dan sebagainya serta ada juga yang mati disebabkan kemalangan jalan raya, ditembak, dibunuh dan pelbagai lagi kemungkinan. Semua hukum alam telah Allah tetapkan.

Pun begitu, amat saya tidak setuju dengan yang mengatakan, "Alah, kesihatan dijaga, makan dijaga pun kalau nak mati, mati juga, kemalangan ke apa ke...". Ini kerana, Allah telah menciptakan hukum alam yang Dia matikan kita dengannya. Dengan kata yang mudah, Allah mematikan kita dengan pelbagai sebab atau cara atau hukum alam.

Contohnya :

1) Zack sedang memandu keretanya dalam keadaan hujan lebat, jalan basah dengan kelajuan 160km/j, tidak semena-mena, dia ternampak seekor lembu melintas jalan lebih kurang 25m dihadapannya, lalu dia melakukan brek kecemasan.

2) Jacky sedang memandu keretanya dalam keadaan panas terik, jalan kering dengan kelajuan 160km/j, tidak semena-mena, dia ternampak seekor lembu melintas jalan lebih kurang 25m dihadapannya, lalu dia melakukan brek kecemasan.

Pada pendapat anda, sempatkah Zack dan Jacky memberhentikan kereta dan tidak melanggar lembu tersebut?

Mengikut hukum alamnya atau mudah difahaminya FIZIK, kereta Zack akan melanggar lembu dan kereta Jacky tidak kerana faktor jalan yang basah. Seseorang yang belajar khusus dalam bidang fizik atau kejuruteraan dapat mngiranya denga tepat berdasarkan force yang terdapat di jalan, tayar, brek dan sebagainya. Inilah sains, dan inilah cara saya memahami qadar Allah. Walaubagaimanapun, terlalu banyak lagi hukum-hukum alam yang hanya Allah sahaja mengetahuinya dan manusia belum menerokainya.

Begitu juga dengan kesihatan, yang merupakan salah satu cara Allah mematikan manusia, yang di dalam satu perkataan kesihatan ini boleh terkandung berbagai-bagai hukum, penyakit-penyakit, cara-cara menyembuhkannya, cara-cara menahannya dan sebagainya. Sebagai contoh, seorang wanita yang menghidap barah kulit payudara tahap ketiga, bila ke hospital, mengikut hukum kedoktoran, dia masih sempat dibedah untuk membuang ketumbuhan barah itu. Setelah doktor mengkaji segala-galanya, doktor memutuskan untuk lekaukan pembedahan, dan pembedahan dilakukan. Selepas pembedahan, pesakit dibawa pula untuk menjalani rawatan kimoterapi secara berperingkat. Pun begitu, sebulan selepas itu, pesakit itu kembali rasa sakit dan setelah discan, pesakit diberitahu, ketumbuhan sel barah yang sudah dibuang masih merebak dan pembedahan perlu dilakukan sekali lagi dan temu janji seterunya 2 bulan selepas itu.

Pesakit mengambil keputusan untuk berubat kampung. Pergilah pesakit ke rumah pengamal perubatan secara tradisional yang menggunakan akar-akar kayu, daun-daun dan doa sebagai ubat. Setelah berubat selama dua bulan, pesakit kembali ke hospital, didapatinya, ketumbuhan sel barah tadi telah hilang.

Apa yang ingin saya sampaikan daripada contoh tadi ialah, kekuasaan Allah. Betapa banyak cara atau hukum-hukum alam yang boleh menyembuhkan barah yang diciptakan Allah. Yang belajar dalam bidang kedoktoran, mereka melaksanakan pembedahan dan sebagainya, yang berubat secara tradisional, mereka menggunakan akar kayu. Namun, hukum Allah itu terkadang manusia merasa mengetahuinya sedangkan hanya Allah sahaja yang tahu. Orang yang belajar berkaitan kedoktoran mengetahui tentang kedoktoran, yang belajar tentang homeophathy tahu tentang itu dan yang berubat tradisional tahu cara itu, yang belum diketahui, Allah sahaja yang tahu.

Saya amat tidak setuju jika terdapat manusia yang seolah-olah mengatakan manusia tiada pilihan seperti yang saya cakap tadi. Contohnya yang mengatakan, "Bila kita memotong sesuatu menggunakan pisau, sebenarnya pisau itu tidak memotong, kita tidak memotong tetapi Allah yang memotong." Bagi saya, bila kita memotong, kita memilih untuk memotong dan pisau itu yang memotong dengan kekuasaan Allah yang menciptakan hukum, ketajaman itu memotong sesuatu benda yang sesuai dengan ketajamannya. Pisau, boleh memotong ikan, sesuai dengan ketajamannya yang sudah Allah tentukan. Besi, jika digunakan pisau yang sama, tidak dapat dipotong. Jika digunakan mesin, pisau yang lebih kurang tajamnya yang berpusing mampu memotong besi. Hukum-hukum ini semuanya Allah sudah tentukan dan diberikan-Nya ilmu kepada manusia untuk mengerti semua itu. Ini cara saya memahami qada' dan qadar.


Kesihatan

Berkaitan kematian sudah, berkaitan takdir sudah, sekarang sesuailah dihuraikan tentang kesihatan setelah memahami hukum-hukum tadi.

Bila bercakap tentang kesihatan, tidak dapat tidak ia akan berkait dengan makanan. Makanan selalunya menyebabkan penyakit. Bagi mereka yang tidak (mahu) memahami tentang hukum alam, mereka akan mengatakan, "Alah...Allah nak bagi penyakit, jaga makan pun kalau Allah nak bagi, kena juga...". Tetapi bagi yang berakal dan memerhati, akan memahami bahawa Allah menjadikan penyakit itu sebahagiannya dengan makanan yang dimakan oleh manusia. Sebagai contoh, Allah menjadikan penyakit kencing manis dengan gula yang diambil secara berlebihan tetapi penyakit barah pula boleh disebabkan oleh gelombang radioaktif.

Dengan memahami konsep hukum alam, terbentuklah kata-kata :

الوقاية خير من العلاج

"Mencegah lebih baik daripada mengubati"

Bagaimana hendak mencegah kalau kita berpendapat segala-galanya Allah yang tentukan tanpa kita ada pilihan. Tidak dapat tidak, untuk mencegah, kita perlu berfahaman bahawa Allah berkuasa dan Allah memberi kita pilihan dengan kuasa-Nya.

Dua nikmat yang sering manusia lupakan ialah nikmat sihat dan masa lapang. Dengan kealpaan ini, manusia menzalimi diri dan kesihatannya. Manusia dalam waktu sihat tidak berfikir seperti manusia yang sakit. Sebab itulah, seeloknya kita meringankan kaki untuk melawat orang yang sedang sakit supaya kita mengetahui apa yang difikirkan si sakit.

Dan pengajaran yang saya rasa paling baik untuk saya ingati selalu ialah, sakit itu sangat-sangat tak menyenangkan. Jika dalam waktu sihat, kita selalu makan sedap-sedap, ingatlah sakit itu bukanlah seperti makanan yang sedap itu kerana sakit itu sendiri ialah perkataan yang negetif, bukannya positif seperti perkataan sedap.

Ibu saya yang saya panggil mek ialah seorang yang amat cerewet dalam pemakanan. Banyak jenis makanan yang beliau tidak suka seperti susu segar, daging lembu, daging kambing, isi ayam yang agak lembik, ikan-ikan besar dan banyak lagilah. Namun, semenjak jatuh sakit, susu kambing pun ibu saya boleh minum walaupun dalam keadaan terpaksa. Begitulah gambaran negetifnya sakit itu. jauh lebih negetif daripada 'tidak sedap'.

Seperti yang saya perkatakan tadi, orang yang sihat tidak berfikir seperti orang yang sihat. Oleh sebab itu, jika diperhatikan, orang yang sihat makan segala benda seperti tempayan. Orang-orang dahulu, segala benda disimpan di dalam tempayan, begitulah mulut manusia, semua benda masuk. Orang yang lepas bersalin, tanpa segan silu meminum air sejuk atau air batu walaupun sudah dipesan orang tua-tua kerana sakit kesan minum air sejuk itu tidak terus dirasakannya. Setelah beberapa bulan, kesannnya dirasai, pada masa itu, orang yang tadinya sakit akan bersumpah tidak akan minum lagi air sejuk. Tetapi, bila sakit itu hilang, diminumnya lagi.

Sama juga si perokok, hisap, hisap dan hisap, sekali sakit, masuk wad, dikatakannya hendak berhenti merokok, tetapi bila sudah sihat, lagi banyak merokok.


DIET

Allah berfirman :

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ كُلُواْ مِمَّا فِي ٱلۡأَرۡضِ حَلَٰلٗا طَيِّبٗا وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٌ ١٦٨

Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.
[Surah Al-Baqarah, 2 : 168]

Maksud baik (toyyiban) di sini ialah baik, bermanfaat untuk diri, serta tidak membahayakan bagi jiwa raga (dalaman luaran).

Jarang yang mengambil pengajaran daripada ayat ini termasuklah mereka yang selalu berkata bahawa mereka pejuang Islam dan mungkin juga termasuk diri saya sendiri. Tengok sahajalah bagaimana bentuk badan sesetengah pejuang Islam, bak kata orang Kelantan, "gemuk kembung" atau perkataan yang selalu digunakan ialah boroi. Mohon maaf bagi yang terasa tetapi anggaplah ini sebagai teguran, bukan sahaja kepada yang boroi tetapi kepada semua kerana mungkin sahaja yang boroi itu lebih sihat berbanding yang tidak.

Jadi, dengan mengambil pengajaran daripada ayat ini, marilah kita sama-sama mengatur semula diet harian kita. Selalunya, bila sebut tentang diet, orang akan terfikir tentang menguruskan badan. Pandangan itu salah, kerana diet bukan sahaja untuk menguruskan badan, tetapi sebagai pencegahan dan cuga merubat.

Tulisan saya kali ini bukanlah bertujuan untuk menjelaskan tentang diet, kerana diet bagi seseorang tertentu berbeza dengan seseorang yang lain. Ali yang menghidap penyakit tekanan darah rendah dietnya berbeza dengan abu yang menghidap tekanan darah tinggi. Nasihat saya, berjumpalah dengan ahlinya seperti doktor atau pengamal perubatan tradisional untuk bertanyakan tentang diet yang sesuai dengan anda.

Pun begitu, di sini saya akan nyatakan serba sedikit makanan-makanan yang TOYYIB atau baik untuk kesihatan kita dan juga yang tidak baik.


Yang Baik Untuk Kesihatan

1) Susu
Susu dikatakan oleh Rasulullah sesuatu yang berfungsi sebagai makanan sekaligus minuman dan hanya susu yang bersifat demikian. (Boleh rujuk kitab Syamail Muhammad)

Menurut apa yang saya belajar suatu masa dahulu pula, susu mengandungi banyak kalsium yang mana akan membantu menguatkan tulang. Susu juga elok untuk penghadaman dan ia sesuai diminum sebelum tidur kerana ia membantu orang yang minum untuk mendapatkan rehat yang berkualiti.

2) Buah-buahan
Buah-buahan yang banyak mengandungi vitamin C seperti anggur, oren, kiwi membantu menyihatkan kulit.

3) Minyak Zaitun
Rasulullah mengatakan minyak zaitun datangnya daripada pokok yang diberkati.


4) Digestible food
Digestible food ialah makanan yang boleh dihadam atau mudahnya ialah makanan yang mudah untuk dihadam. Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : (Maksudnya)

Keutamaan Aisyah dibandingkan perempuan-perempuan lain sama seperti keutamaan bubur dibandingkan dengan makanan yang lain.
(Riwayat Tirmizi, Bukhari, Muslim, Ibnu Majah, Darami, Ahmad, dan Dailami)

Contoh lain ialah buah labu dan buah tembikai.

5) Madu

6) Sayur-sayuran

7) Kurma

8) Air yang tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk (bersuhu badan)
Ramai antara kita yang meminum air yang terlalu tinggi suhunya dan lebih ramai lagi yang suka meminum air + ais. Selalunya mereka yang suka meminum air + ais mempunyai perut yang buncit.

9) Makan dengan perlahan dan kunyah banyak kali

10) Sikitkan kualiti makanan setiap kali makan, tetapi kerapkan makan

11) Makanan semula jadi

12) Bersenam


Yang Tidak Baik Untuk Kesihatan

1) Makanan berkolesterol tinggi.
Makanan berkolestrol tinggi seperti makanan yang diggoreng dan daging lembu tidak elok untuk kesihatan. Makanan seperti ini selain akan membuncitkan perut, ia juga membantu pemakannya obesiti dan akan mudah terkena tekanan darah tinggi, jantung berlemak, hati berlemak dan strok.

2) Kekacang
Kekacang yang dimakan berlebihan tidak elok untuk tulang. Contoh kekacang yang digemari ramai ialah kacang soya.

3) Bahan pengawet
Pada zaman serba moden ini, terdapat pelbagai teknologi yang digunakan termasuk dalam penghasilan makanan. Maka dengan itu, terhasillah banyak makanan yang mengandungi bahan pengawet di pasaran-pasaran. Jadi, bahan pengawet eloklah dihindari atau dikurangkan.

4) Makanan yang terdedah kepada cahaya matahari

Boleh menyebabkan masalah kulit.

5) Tidur dalam cahaya
Tidur dengan lampu terpasang bukanlah tabiat yang baik kerana ia mungkin mengakibatkan kanser.

6) Minuman yang berwarna
Minuman yang berwarna pekat seperti black coffee, black tea, minuman berkarbonat dan minuman yang dimasukkan pewarna tiruan boleh menambah toksik dalam badan sekali gus memberi kesan kepada buah pinggang.

7) Mandi selepas makan

8) Senaman selepas makan

9) Bernafas ke dalam air yang sedang diminum

10) Makanan laut
Makanan laut seperti sotong, kerang, udang seeloknya dikurangkan terutamanya bagi orang yang mempunyai ketahanan badan yang rendah.

11) Pengambilan garam yang berlebihan

12) Makanan sejuk

Ini sahaja yang saya mampu senaraikan walaupun masih banyak lagi makanan dan perkara lain yang elok dan tidak elok untuk kesihatan.

Selain itu, saya nasihatkan semua pembaca untuk mengerapkan pemeriksaan kesihatan kerana hari ini, penyakit-penyakit baru banyak yang dihidapi dan terkadang ia dikesan setelah mencapai tahap yang sukar diubati seperti apa yang terjadi kepada ibu saya. Ibu saya disahkan menghidap kanser hati tahap yang teruk sehinggakan doktor memberitahu saya bahawa mereka tidak boleh melakukan pembedahan kerana ia telah merebak dan jika pembedahan dilakukan, ia hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Jadi, eloklah sekiranya kita melakukan pemeriksaan klinikal dengan kerap kerana, jika sesuatu penyakit merbahaya hinggap sekalipun, usaha-usaha mengubatinya tidaklah terlalu sukar.

Setakat ini sahaja tulisan pada kali ini, syukur kepada Allah kerana tulisan ini berjaya ditaip dan dibaca oleh sahabat semua. Semoga Allah menjadikan kita hamba yang sihat tubuh badan yang membolehkan kita memperjuangkan agama Allah, Islam setinggi-tingginya. Mohon maaf segala salah silap. Yang betul diikuti, yang salah dibetulkan. Ingat, mencegah lebih baik daripada mengubati.


Wallahu A'lam Wa ilal-liqa'


Diambil dari theswordofallah.blogspot dengan sedikit suntingan.


No comments:

Post a Comment