Monday 1 June 2015

Apa itu rawatan Islam?

Apabila disebut rawatan Islam, ramai yang keliru perincian sebenar dua perkataan ini. Adakah istilah rawatan Islam hanya merujuk falsafah dan kaedah rawatan penyakit yang diamalkan oleh RasuluLlah saw? Atau adakah ia termasuk juga apa-apa kaedah rawatan lain selagi tidak ditegah oleh syari’at Islam?

Perbezaan definisi ini menyebabkan banyak polemik dan perselisihan pendapat. Ada segolongan menuding jari pada pihak yang lain dengan alasan rawatan mereka tidak sunnah. Pihak yang dituduh pula pastinya melenting apabila kaedah mereka dipersoalkan secara sebegitu. Dalam pada itu, ada pula pihak yang mengadaptasi kaedah-kaedah yang berasal dari rawatan China atau India purba, reiki, atau metafizik lalu dihiasi dengan salawat dan ayat-ayat suci tertentu dan diberi label unik yang lebih Islamik. Adakah ini juga dapat digolongkan dalam rawatan Islam?

Apapun percubaan kita dalam merungkai kemelut ini akan hanya berguna sebagai teori ilmiah jika kita tidak memperinci sesuatu jenis rawatan itu dari falsafah kepada kaedah, kepada bahan, bacaan, rujukan, dan kepada siapa harapan untuk menyembuhkan. Dengan maklumat yang tepat sahajalah kita dapat mengenalpasti kaedah manakah yang bersih dan suci dari unsur-unsur yang dilarang agama Islam.

Adalah penting untuk mengenalpasti kaedah-kaedah perawatan yang bercanggah dengan syari’at agama kerana banyak kaedah yang memerangkap orang ramai kepada amalan-amalan haram samaada melalui penggunaan bahan-bahan yang diharamkan atau dengan cara yang diharamkan seperti berdua-duaan perawat lelaki dan pesakit wanita yang bukan mahram. Yang lebih parah adalah kaedah rawatan yang menyinggung aqidah Islam terutama yang bersembunyi di sebalik ayat-ayat al-Qur’an yang mulia.

Sekurang-kurangnya, berbekalkan ilmu, kita dapat meletakkan label ‘Halal’, ‘Haram’ atau ‘Syubhah’ pada kaedah-kaedah perubatan diluar sana; atau sekurang-kurangnya ‘Halal dengan bersyarat….”

Apapun, rawatan yang mengambil kaedah dan bahan-bahan yang dilakukan dan digunakan oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. sendiri semasa baginda merawat, wajarlah diberi nama ‘Rawatan Nabi‘ atau طب النبوى . Dalam pada masa yang sama, Nabi s.a.w membenarkan diri baginda di rawat oleh orang lain seperti dengan kaedah berbekam. Ada juga peristiwa Nabi s.a.w mengarahkan sahabat-sahabat yang sakit untuk pergi berjumpa dengan orang-orang yang pakar dalam rawatan satu-satu penyakit, atau jampi-jampi tradisi arab yang dibenarkan Nabi saw. Maka oleh itu, wajarlah juga istilah ‘rawatan Islam’ diluaskan dengan mengambil ‘Rawatan Nabi’ menjadi tunjang, lalu rawatan-rawatan lain yang mematuhi prinsip-prinsip perubatan Islam pada bahan-bahannya, caranya, kaedahnya, bacaannya, alatannya, dan aqidahnya digolongkan di dalam rawatan yang dibenarkan Islam atau ‘rawatan Islam‘.

Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment